Sunday, May 27, 2012

Ujian & Dugaan Allah S.W.T

Hidup di dunia tidak lepas daripada ujian dan dugaan dari Allah. Itu sudah menjadi rencah kehidupan manusia. Ada 2 jenis bentuk ujian buat manusia, ujian dalam bentuk kesenangan dan ujian dalam bentuk kesusahan. Namun, acapkali apabila disebut ujian Allah maka rata-rata manusia beranggapan ujian itu adalah dalam bentuk bala dan musibah. Ramai yang lupa akan ujian kesenangan yang datang dalam pelbagai bentuk kekayaan, kekuasaan, kesihatan dan bermacam-macam lagi. Maka antara ujian yang datang daripada Allah itu ialah timbulnya perasaan takut di hati, kelaparan, hilangnya harta benda, tanaman dan orang yang disayangi. Kebiasaannya apabila manusia ditimpa musibah, pastinya mereka akan berada dalam keadaan sedih, dukacita dan gusar. Tetapi manusia yang bersabar menghadapi ujian akan menerima khabar gembira. Ciri Manusia Yang Sabar Manusia yang sabar ialah mereka yang apabila ditimpa kesusahan akan segera ingat kepada Allah, dengan berkata, "Inna lillah wa inna ilayhi raji'un," bahawa hidup kita ini secara keseluruhannya adalah hak milik mutlak Allah - apa sahaja yang kita miliki, baik harta, kuasa, bahkan nyawa kita dan orang-orang yang kita sayangi kesemuanya adalah hak milik Allah. Maka pastinya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya ke atas segala yang dimiliki-Nya, dan akan tiba masa dan ketika di mana kesemuanya akan dikembalikan kepada-Nya. Para 'ulama mengingatkan bahawa sabar itu mestilah berlaku pada pukulan pertama, iaitu ketika mula-mula musibah melanda. Bukannya seperti kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Manusia apabila mula-mula ditimpa musibah, ramai yang akan cepat melatah dan tidak redha dengan ketentuan tersebut. Setelah keadaan reda sedikit dan dia mula sedar bahawa dia tidak memiliki jalan keluar, barulah dia akan mula insaf, redha kepada ketentuan Tuhan dan berkata, "Sabar sahajalah, nak buat macam mana lagi..." Itu bukanlah konsep sabar yang sebenar. Sabar yang sebenar ialah pada detik pertama musibah melanda, lantas manusia yang bersabar terus redha dengan ketentuan Allah tanpa sedikit pun timbul rasa kecewa atau penyesalan. Mereka inilah yang akan mendapat khabar gembira tersebut walaupun dilanda kesusahan. Apa pula bentuk khabar gembira itu? Pertama khabar gembira itu datang dalam bentuk selawat daripada Allah, iaitu mendapat keberkatan daripada Allah dan keampunan dari dosa-dosa. Kemudian datang pula rahmat Allah melimpahi mereka. Sa'id ibn Jubayr rahimahullah, seorang tokoh Tabi'in mengatakan bahawa rahmat itu ialah pelindung daripada siksa azab neraka. Dan akhirnya mereka adalah orang yang benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah. Orang yang mendapat petunjuk pula akan mendapat ganjaran yang banyak kerana mereka mengikut petunjuk Allah. Hadapilah ujian dan dugaan dari ALLAH dengan keimanan,ketakwaan dan kesabaran. Moga-moga kita sentiasa berada dibawah payung rahmat,redha dan kasih sayangNYA. Mari sama-sama kita amalkan doa ini: (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.(2:286) Sama-samalah kita bina kekuatan di dalam diri kita, apabila bermacam-macam dugaan datang di dalam hidup kita, kerana Allah dekat dengan kita dikala ujian itu datang, jika kita mengingati NYA.